Sunday, 1 November 2015

Teater Eksperimental

Teater aliran eksperimental telah berkembang di Malaysia sejak tahun 1970-an,bermula dengan pementasan,Bukan Lalang Ditiup Angin oleh Noordin Hassan pada tahun 1970 di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim Perak. Rentetan daripada pementasan itu, penonton telah dihidangkan dengan beberapa produksi lagi yang juga membawakan pementasan yang bersifat anti realistik. Beberapa nama dramatis yang sangat sinonim dengan perkembangan ini termasuklah Hatta Azad Khan, Johan Jaaffar, Dinsman, Abdul Aziz H.M, Khalid Salleh, Mana Sikana, dan Syed Alwi. Nama-nama itu dan hasil karya mereka telah meletakkan 1970-an sebagai suatu zaman kegemilangan bagi teater eksperimental Melayu (TEM) di Malaysia. Kemunculan teater dengan konsep yang baru itu, telah mencetuskan polemik di kalangan pengkritik sastera tanah air yang menganggap bentuk sedemikian terlalu kebaratan dan bertentangan dengan adat budaya masyarakat Melayu. Kemurungan sambutan teater pada akhir tahun 1970-an dan 1980-an telah dikaitkan dengan kecenderungan penggiat teater pada ketika itu, mementaskan persembahan yang sukar untuk difahami oleh penonton. Bentuk baru ini membawakan protes yang disampaikan dalam bahasa berlapis atau menggunakan gerak, objek, simbol, imej, dan teknik teaterikal sebagai perantara. Bentuk tersebut berbeza dengan konsep persembahan drama realisme dan bangsawan yang memaparkan sesuatu yang langsung dan mudah untuk dihayati oleh penonton.
 

Walau pun para dramatis dan penggiat teater ini menerima pelbagai reaksi dan pandangan terhadap konsep persembahan baru yang dikenali sebagai teater eksperimental, sama ada positif atau negatif, mereka tidak pernah berhenti berkarya. Usaha mereka tidak sia-sia kerana teks-teks yang berada dalam aliran ekpserimental ini sentiasa mendapat perhatian masyarakat terutamanya dalam festival dan pertandingan teater, dipilih sebagai produksi pertandingan. Mereka terus berkarya, sama ada mementaskan drama atau menghasilkan skrip untuk pementasan. Berdasarkan tinjauan awal yang dibuat terhadap teks-teks dramatik dalam aliran eksperimental ini, khususnya yang di hasilkan dalam tahun 1980 dan 1990-an, didapati menampilkan pelbagai elemen baru, teknik penyampaian, isu dan permasalahan yang belum diterokai pada ketika itu. Bahan-bahan dan sumber yang segar dan lebih bernafas kemelayuan atau melambangkan jati diri bangsa.

No comments:

Post a Comment